Sebagaimana yang kita maklum, unit amanah adalah satu bentuk pelaburan, sebagaimana instrumen pelaburan yang lain. Ini bermakna, kita mempunyai beberapa pilihan dalam menentukan apakah instrumen pelaburan yang sesuai dengan objektif pelaburan dan profil risiko kita. Oleh yang demikian, kita perlulah membuat perbandingan terlebih dahulu sebelum kita membuat keputusan tersebut.
Berikut adalah beberapa jenis instrumen pelaburan yang biasa dipraktikkan:
- Unit amanah
- Pasaran saham
- Insurans/Takaful berkaitan pelaburan
- Pelaburan asing
- Wang Tunai dan Simpanan Tetap
- Pelaburan hartanah
- Produk kewangan derivatif
- Potensi pulangan
- Tempoh atau jangkamasa pelaburan
- Modal yang diperlukan
- Kecairan aset yang dilaburkan
- Risiko pelaburan
Unit Amanah vs Pasaran Saham
Pelaburan unit amanah adalah lebih baik berbanding dengan melabur secara terus di dalam pasaran saham dalam dua perkara, iaitu modal yang diperlukan dan risiko pelaburan. Anda tidak memerlukan modal yang besar untuk melabur di dalam unit amanah. Anda boleh memulakan pelaburan serendah RM1000, malah ada yang boleh dimulakan dengan RM100 sahaja. Risiko pelaburan juga dapat dikurangkan melalui kepelbagaian pelaburan, tidak seperti pelaburan di dalam satu kaunter saham sahaja.
Unit Amanah vs Insurans/Takaful berkaitan Pelaburan (Investment-Link)
Pelaburan unit amanah mempunyai satu kelebihan ke atas insurans/takaful berkaitan pelaburan, iaitu dari aspek kecairan modal. Pada kebiasaannya, penalti akan dikenakan kepada anda jika sekiranya anda ingin membatalkan polisi perlindungan anda tatkala objektif pelaburan anda berubah (seperti ingin menggunakan duit secara mengejut), dan penalti yang dikenakan itu berbeza kadarnya. Anda harus sedar bahawa anda tidak boleh mendapat kedua-duanya serentak; pulangan yang tinggi dan perlindungan yang tinggi. Dalam insurans/takaful berkaitan pelaburan, ia berkadar songsang; pulangan tinggi, perlindungan rendah, dan begitu juga sebaliknya. Adalah lebih baik jika anda dapat mengasingkan pelaburan daripada perlindungan dan membuat kedua-dua perkara tersebut secara berasingan. Kedua-duanya adalah sama penting dalam konteks masing-masing.
Unit Amanah vs Pelaburan Asing
Pelaburan asing bermaksud melabur di luar negara. Sudah tentu banyak kelemahan jika anda melabur di luar negara. Anda akan terdedah kepada perubahan polisi negara tersebut, risiko kadar tukaran wang dan juga risiko-risiko yang lain. Ia juga memerlukan modal yang besar.
Unit Amanah vs Wang Tunai / Simpanan Tetap
Pelaburan unit amanah mempunyai kelebihan dari aspek potensi pulangan dan kecairan modal. Walaupun risiko simpanan tetap dan akaun simpanan/tabungan biasa seperti Tabung Haji, wadiah dan sebagainya adalah sangat rendah, potensi pulangannya juga sangat rendah. Oleh yang demikian, ia adalah terdedah kepada kesan inflasi yang boleh menyusutkan nilai simpanan. Siapa kata menyimpan wang di dalam bank tidak mempunyai risiko? Bank juga turut dilindungi oleh insurans, kerana bank juga mempunyai potensi yang sangat besar untuk dirompak!!
Unit Amanah vs Pelaburan Hartanah
Pelaburan hartanah adalah pelaburan yang baik, tetapi anda mungkin menghadapi kesukaran untuk mencairkan aset dalam tempoh yang singkat. Ia juga memerlukan modal yang besar. Lainlah jika anda mewarisi hartanah yang banyak. Ia suatu isu yang tidak sama.
Unit Amanah vs Produk Kewangan Derivatif
Derivatif ialah produk kewangan yang memperoleh nilainya daripada harga komoditi atau instrumen yang lebih asas. Misalannya, nilai niaga hadapan minyak sawit mentah diperoleh daripada harga minyak sawit mentah. Produk derivatif yang biasa ialah “niaga hadapan” dan “opsyen”. Risiko pelaburannya adalah sangat tinggi berbanding pelaburan unit amanah. Jika anda tidak biasa dengan pelaburan derivatif, adalah lebih baik jika anda tidak melabur di dalamnya.
No comments:
Post a Comment