S: DARI segi keutamaan, bagaimana
saya harus merancang simpanan dan pelaburan saya? Ada yang berkata simpanan
tetap adalah perkara pertama yang perlu dipertimbangkan, manakala sesetengah
yang lain pula mengesyorkan unit amanah. Saya agak keliru bagaimana menetapkan
keutamaan simpanan saya.
JAWAPAN: Simpanan dan pelaburan,
walaupun kadangkala digunakan dalam konteks yang sama, adalah aktiviti berbeza
dari segi perancangan kewangan.
Simpanan bermakna meletakkan tunai
dalam sesuatu yang sangat cair, seperti akaun simpanan atau akaun deposit
tetap. Sebaliknya, pelaburan bermakna menggunakan tunai untuk membeli aset,
yang anda harap boleh meraih pulangan yang berpatutan dalam tempoh tertentu
dengan mengambil risiko yang boleh diterima.
Simpanan dan pelaburan berbeza dari
segi risiko. Anda boleh menanggung sedikit kerugian atas pelaburan, tetapi
simpanan anda adalah untuk dimanfaatkan dalam tempoh masa terdekat dan tidak
seharusnya menimbulkan sebarang risiko.
Berapa banyak harus disimpan dan
berapa banyak untuk dilaburkan? Simpanan perlu sentiasa diutamakan. Anggap
simpanan sebagai asas pelan kewangan anda.
Sebelum melakukan apa-apa, anda
perlu menyimpan untuk membina tabung kecemasan. Sebagai panduan, dana kecemasan
anda seharusnya meliputi perbelanjaan peribadi untuk tempoh sekurang-kurangnya
enam bulan.
Dengan cara itu, seandainya anda
diberhentikan kerja, anda ada wang untuk menampung keperluan hidup selama enam
bulan sehingga anda kembali berdikari.
Seterusnya, anda mungkin mahu
memperuntukkan sejumlah simpanan untuk memenuhi sebarang matlamat kewangan
dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Ini mungkin termasuk wang
pendahuluan untuk membeli rumah atau tabung mendirikan rumah tangga. Sebarang jumlah
wang yang anda perlu dalam tempoh lima tahun akan datang seharusnya diambil
daripada simpanan anda.
Ini kerana pasaran pelaburan mungkin
turun naik dalam jangka pendek. Melabur dalam tempoh masa kurang daripada lima
tahun mungkin menimbulkan risiko dan kegusaran kerana turun naik pasaran.
Setelah anda mencapai matlamat simpanan asas yang saya terangkan di atas, anda
boleh mempertimbangkan soal pelaburan.
Seperti yang saya sebutkan sebelum
ini, melabur melibatkan risiko yang lebih tinggi daripada simpanan, tetapi ia
juga berpotensi menghasilkan pulangan lebih tinggi. Anda perlu tanya kepada
diri sendiri sama ada anda sudah bersedia untuk melabur? Pertama sekali,
pelajari tentang pilihan pelaburan yang ada.
Adakah anda fasih tentang
selok-belok pelaburan saham atau anda rasa lebih baik menyerahkan tugas itu
kepada pengurus profesional. Anda mungkin perlu meluangkan sedikit masa untuk
memahami cara kelas aset berbeza bergerak dalam keadaan pasaran berbeza, serta
caj jualan dan jumlah pelaburan yang diperlukan untuk bermula.
Kedua, luangkan masa untuk memahami
kecenderungan pelaburan anda? Adakah kerugian nilai pelaburan sebanyak 10
peratus akan menyebabkan anda tidak dapat tidur lena? Jika ya, anda mungkin
tidak sanggup menerima risiko yang tinggi. Cari produk pelaburan yang sesuai
dengan profil risiko anda.
Jangan laburkan sesuatu di luar
bidang kefahaman anda. Jika anda kurang selesa, tanya soalan sehingga anda
mengenali pelaburan yang anda buat. Jika sesuatu pelaburan kelihatan terlalu
hebat, kemungkinan besar ada udang di sebalik batu! Tidak ada pelan pelaburan
yang boleh menjadikan anda cepat kaya.
No comments:
Post a Comment