Amalkan Formula S.E.B.E.L.A.S
S – Simpan untuk diri (dan keluarga) anda dahulu!
Jika dahulu,
anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang,
membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, pada tahun 2011, berikan
keutamaan kepada menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu
(Pay Youself First). Tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar,
pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri (dan keluarga)
secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih banyak
lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun
berikutnya.
E – Elak pembaziran (Economise)
Bezakan
antara barang-barang keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, anda tidak
perlu membeli barangan bayi yang berjenama mahal jika jenama yang
sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan si comel. Tambahan pula,
kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan “house brand” yang
berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.
B – Bajet
Buat bajet,
tulis dan patuhinya! Sesetengah ibu bapa gemar membuat bajet secara
kasar atau “dalam kepala” sahaja, terutamanya semasa hendak membeli
barang. Ini cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa yang
ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah
dibuat tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat
bajet adalah langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet,
besar kemungkinan anda akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan
sendiri dan keluarga.
E – Elak
emosi semasa membuat keputusan berkaitan kewangan.
Perkara ini
tidak dapat dinafikan terutamanya apabila anda mempunyai wang lebihan
(contohnya mendapat bonus). Macam-macam perkara yang akan terlintas
difikiran anda- kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya.
Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda menyimpan sebahagian
daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan hutang sedia
ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad
kredit anda sekaligus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala
hutang-piutang yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi
tenang jika anda sudah melangsaikan hutang.
L – Libatkan
si kecil
Sering kali,
ibu bapa tersalah anggap bahawa anak kecil tidak mampu memahami konsep
kewangan. Tanggapan ini tidak tepat kerana sedar atau tidak, biasanya si
kecil memang tahu meniru cara dan kelakuan ibu bapa mereka. Oleh itu,
libatkanlah anak-anak dalam hal-hal kewangan anda. Salah satu cara mudah
yang boleh dilakukan ialah dengan membawa anak-anak ketika menjalankan
transaksi kewangan. Contohnya, bawa anak-anak bersama apabila anda pergi
ke bank. Dengan cara ini, anda dapat membentuk tabiat menabung dan
menyimpan daripada usia muda lagi.
A – Awasi
skim pelaburan tidak sah.
Mungkin anda
sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang
sedia ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada
dengan pelbagai skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang
terdapat di pasaran. Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung
berlipat kali ganda dan mendakwa tiada risiko yang terlibat jika anda
melabur dengan mereka, mungkin itu adalah syarikat yang tidak sah.
Pastikan anda memeriksa sama ada sesuatu syarikat itu berlesen ataupun
tidak dengan menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan. Ingat, dapatkan
sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda
kepada mana-mana pihak.
S - Sediakan
dana kecemasan
Dana
kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk
digunakan sekiranya berlaku apa-apa musibah/kemalangan yang tidak
diingini. Biasanya, anda dinasihatkan untuk mempunyai dana kecemasan
sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan
wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah
berkaitan kewangan dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang
mencukupi juga akan memastikan cara hidup kita tidak terganggu sewaktu
menghadapi masalah kewangan.
Kesimpulan
Kejayaan
dalam pengurusan kewangan 2012 bergantung kepada usaha anda! Jika anda
perlukan sedikit inspirasi, lihatlah pasangan yang tersayang, dan jika
masih belum mendapat ilham, lihatlah muka si comel anda. Lakukanlah yang
terbaik untuk diri, pasangan dan keluarga demi mencapai kejayaan dalam
pengurusan kewangan anda. Semoga tahun 2012 memberikan anda sekeluarga
keadaan kewangan yang lebih stabil.
No comments:
Post a Comment