Fund for Blog Development-Please click

Sunday, June 12, 2011

Dana Islam Lebih Berdaya Tahan

PENINGKATAN kekayaan pelabur yang berminat melabur dalam produk-produk kewangan Islam dan perkembangan produk-produk Pasaran Modal Islam akan memperkukuhkan prospek pertumbuhan industri unit amanah Islam dalam jangka panjang. Di Malaysia, permintaan untuk unit amanah Islam nyata semakin meningkat. Daripada hanya dua buah dana Islam pada tahun 1993, bilangan dana-dana Islam dalam industri unit amanah swasta di Malaysia telah meningkat kepada 146 buah pada hari ini. Setakat 30 Jun 2010, sektor dana Islam mempunyai nilai aset bersih (NAB) sebanyak RM26.37 bilion, iaitu kira-kira 31 peratus daripada industri unit amanah swasta di Malaysia.

Ciri-ciri Unit Amanah Islam
Ciri utama yang membezakan pengurusan dana Islam daripada pelaburan konvensional ialah pematuhannya kepada undang-undang Syariah. Dana-dana Islam mesti mematuhi aktiviti ekonomi yang patuh Syariah dan melabur hanya dalam syarikat-syarikat yang memenuhi kehendak Syariah. Di samping itu, dana-dana Islam tidak boleh melabur dalam bank-bank konvensional yang menawarkan produk dengan kadar faedah tetap tetapi boleh melabur dalam sekuriti Islam dan institusi kewangan Islam. Dana-dana Islam juga mesti menghindari daripada membuat pelaburan dalam syarikat-syarikat yang terlibat dalam produk-produk yang dilarang oleh undang-undang Islam seperti arak, tembakau, daging khinzir, perjudian dan pornografi.

Setelah menyingkirkan syarikat-syarikat dengan aktiviti perniagaan utama yang tidak mematuhi keperluan Syariah, penyaring kuantitatif, dalam bentuk nisbah kewangan, digunakan untuk memastikan syarikat patuh Syariah menjanakan pendapatannya dengan sumber kewangan yang mencukupi dan tanpa hutang yang berlebihan. Selain itu, dana Islam hanya boleh bergiat instrumen kewangan Islam dan tidak boleh mendapatkan atau menyediakan pinjaman konvensional mahupun melabur dalam produk-produk berfaedah konvensional, termasuk sekuriti hutang konvensional. Tunai yang dipegang oleh sesuatu dana hanya boleh dilaburkan dalam produk pelaburan jangka pendek patuh Syariah, misalnya instrumen pasaran wang.

Daya Tahan Dana Islam
Oleh yang demikian, dana Islam didapati lebih berdaya tahan daripada unit amanah konvensional kerana pulangannya lazimnya kurang meruap. Sementara itu, melabur menurut “etika” ini juga menawarkan kelebihan lain. Sebagai contohnya, dana Islam tidak begitu terjejas oleh skandal yang melanda syarikat-syarikat seperti Enron dan WorldCom beberapa tahun dahulu kerana dana-dana Islam dihindari daripada melabur dalamnya. Selain itu, penyaring kuantitatif menambahkan lagi sifat berdaya tahan dana Islam kerana jika kadar faedah naik dalam suasana inflasi yang semakin meningkat, pelaburan dalam syarikat-syarikat akan mencatatkan prestasi yang cemerlang.

Penyucian Keuntungan
Adakalanya sekuriti patuh Syariah tertentu akan diklasifikasikan semula sebagai sekuriti tidak patuh Syariah. Ini mungkin disebabkan oleh syarikat menukar atau mengembangkan operasinya yang boleh menyebabkan aktiviti yang dilarang oleh undang-undang Syariah mencapai paras yang tidak dapat diterima. Sebagai contohnya, restoran atau hotel mungkin mengambil keputusan untuk mula menghidangkan arak atau daging khinzir di premis mereka. Dalam hal ini, Penasihat Syariah akan memerlukan sekuriti itu dilupuskan sekiranya nilai pasarannya melebihi kos pelaburan asal pada hari pengumuman.

Maka syarikat pengurusan dana perlu menyucikan atau membersihkan keuntungan yang dibuat oleh dana-dana Islam dengan mengenal pasti keuntungan yang dijana oleh aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan serta menyalurkan jumlah berkenaan kepada badan-badan amal yang diluluskan oleh Penasihat Syariah. Pelabur boleh mengetahui bagaimana pengurus-pengurus dana menyucikan perolehan daripada dana Islam mereka dalam prospektus masing-masing.

Majlis Penasihat Syariah

Bagi melindungi kepentingan pelabur, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah (SACSC) untuk mengawal selia dana-dana Islam di Malaysia. SACSC bertanggungjawab melayani pertanyaan dan cadangan-cadangan yang berkaitan dengan bidang ini serta membuat pengumuman untuk menggalakkan inovasi dalam industri ini.

Selain itu, SC juga membenarkan pendaftaran penasihat tempatan dan asing bagi dana unit amanah dan sekuriti Islam demi memastikan pengurus-pengurus dana dapat memanfaatkan kepakaran Syariah mereka. Di samping memastikan operasi dan pelaburan dana mematuhi keperluan Syariah, penasihat Syariah juga berjumpa dengan pengurus dana sekali-sekala untuk menjawab pertanyaan dan memberikan nasihat.

n Rencana ini disumbangkan oleh Public Mutual Berhad, syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia.

No comments:

Post a Comment