Fund for Blog Development-Please click

Thursday, October 20, 2011

Berhijrah ke Unit Amanah Islam

Adakah anda tahu status Shariah unit amanah yang anda labur sekarang ini? Adakah anda sedar jika wang anda dilaburkan ke dalam pelaburan yang tidak patuh Shariah, maka keuntungan yang anda perolehi (seperti bonus, dividen dan lain-lain) juga tidak patuh Shariah?
Berikut merupakan artikel yang ditulis oleh Ust Hj Zaharuddin bin Hj Abd Rahman, seorang pakar ekonomi Islam yang tidak asing lagi di Malaysia.

Pada tarikh 30 Jan 2010, ASB dan ASN masih TIDAK dianggap Saham Patuh Syariah atau ‘Islamic Fund’ oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Lihat link ini http://www.sc.com.my/eng/html/resources/stats/UTF.pdf . Ini yang terbaru, jelas kelihatan TIADA TANDA * ( yang menunjukkan ia sebagai ‘Islamic Fund’) pada nama ASB dan ASN dalam senarai tersebut.
Awal tahun 2009, saya menerima satu email yang mengandungi satu ‘attachement’ surat dari Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia kepada Setiausaha, Majlis Penasihat Syariah salah sebuah Bank Islam di Malaysia berkenaan hukum Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).
Apa yang jelas, telah saya sebutkan sebelum ini berkali-kali, walaupun ia telah disahkan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, namun kaedah dan implementasi ASB dan ASN bercanggah dengan panduan sebuah saham amanah yang diiktiraf PATUH SYARIAH oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia.
Tatkala itu, bolehlah dianggap terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan hukum ASB dan ASN antara dua badan pengeluar hukum yang terbesar di Malaysia. Bagi mereka yang ingin lebih berhati-hati dan menjamin tidak terjebak di dalam yang haram, kerana harta akan menjadi darah daging diri dan ahli keluarga. Saya menyarankan agar melihat dengan lebih teliti KEAHLIAN ahli-ahli fatwa dari kedua-dua badan terbabit.
Jika ditanya kepada pendapat peribadi saya, saya lebih cenderung kepada pendapat Majlis Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam hal ini setelah melihat kepada panduan yang diletakkan mereka bagi mengiktiraf sesebuah Amanah Saham yang patuh atau tidak patuh Syariah.
Anda mungkin berkata,
“SAYA TIDAK PEDULI, ASALKAN MAJLIS FATWA LULUSKAN, SAYA AKAN BERPEGANG DENGANNYA KERANA MEREKA YANG TANGGUNG DI AKHIRAT”
Ulasan saya, Allah s.w.t. memberikan kita aqal untuk memerhati dan meneliti pandangan kedua-dua badan besar ini setakat kemampuan yang ada, berfikirlah. Jika benar-benar setelah membaca hujjah kedua-dua pihak, lalu anda yakin dengan salah satu antaranya, anda telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik. Namun jika, sambil malas dan ingin mengambil mudah, lalu terus berpegang dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, tanpa mengendahkan hujah Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti, tatkala itu, individu tersebut tidak berada dalam situasi yang sepatutnya.
Perlu difahami bahawa Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dianggotai oleh individu yang sememangnya ‘specialist’ dan berpengalaman di dalam bidang muamalat dan kewangan Islam. Untuk melihat senarai ahlinya, sila buka di sini.
Berikut adalah salinan suratnya, saya telah memadam nama bank Islam yang ditujukan surat ini, kerana apa yang penting adalah isi kandungan surat.
( LIHAT IMEJ SURAT DI LINK http://www.zaharuddin.net/content/view/805/95/)
Hasil daripada surat ini, Suruhanjaya Sekuriti kelihatan TIDAK MEMBENARKAN bank-bank Islam di Malaysia memberikan pembiayaan tunai kepada pelanggan yang ingin menyertai ASB dan ASN.
Berikut adalah tulisan-tulisan saya yang lalu berkenaan ASB dan ASN. Dan kita masih mengharap pihak ASB dan ASN mengambil inisiatif lebih tulen untuk melayakkan mereka digelar patuh syariah oleh Majlis Syariah SC, Malaysia.
1) Perbincangan Hukum ASB
2) Tak Puas Hati Berkenaan Hukum ASB
3) Majlis Fatwa kata ASB Harus : Ulasan UZAR
Sejurus mereka mengubah kaedah pelaburan mereka dan diluluskan oleh Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti, di ketika itu, semua artikel-artikel saya berkaitan ASB tidak lagi terpakai tentunya.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Begitulah sebenarnya hakikat yang perlu diterima oleh seorang Muslim Mukmin yang benar-benar ingin menjaga harta dan amalan mereka. Jika dulu kita tidak tahu, mungkin ada maafnya. Akan tetapi, setelah mengetahui hakikat ini, apakah kita masih lagi mahu terus hidup dengan memakan harta yang tidak halal?

No comments:

Post a Comment