Fund for Blog Development-Please click

Thursday, September 27, 2012

Amalan menabung dapat didik anak cara urus wang secara bijak

Amalan menabung dapat didik anak cara urus wang secara bijak
MENYIMPAN wang atau menabung, kemahiran hidup individu sepanjang hayat. Kepentingan menabung kerana ia disifatkan sebagai dana keperluan kecemasan dan bagi mencapai segala matlamat yang ada.
Persoalannya, bagaimanakah kita mahu menerapkan budaya menabung itu kepada si kecil? Apatah lagi dengan sesi persekolahan memasuki bukan kedua sekarang, sudah pasti usaha menabung itu juga harus dimulakan.

Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan mereka juga mengamalkan usaha menabung. Beri galakan kepada anak-anak dengan membeli tabung, selain tunjukkan akaun simpanan yang anda buka untuk mereka. Ambil masa untuk terangkan duit dalam akaun berkenaan diperoleh sempena kelahiran mereka atau sempena hari jadinya. Beritahu juga tabungan amat mustahak sebagai bekalan pendidikan mereka di masa depan. – Puteri Afroze Ahmed Kamil, Perunding Kewangan

Perunding Kewangan Islam Bebas, Puteri Afroze Ahmed Kamil, berkata tabiat murni itu perlu bermula dari rumah dan ibu bapa sewajarnya menjadi penyubur kepada tabiat berkenaan.
Menabung seharusnya bermula sejak usia muda, malah anak di usia tadika yang sudah memahami mengenai peranan wang, seharusnya diajar mengenai kepentingan wang dan kenapa individu perlu menabung.
“Salah satu cara memperkenalkan penggunaan wang kepada kanak-kanak ialah dengan menggunakan permainan seperti “Monopoply” atau Sayidina. Permainan ini mengajar anak mengenai kebaikan pelaburan. Permainan itu menerangkan sekiranya ingin membuat sesuatu pelaburan, kita memerlukan sejumlah wang dan ini boleh didapati dari tabungan kita.
“Lebih penting ibu bapa perlu menunjukkan mereka juga mengamalkannya. Beri galakan kepada mereka dengan membeli tabung, selain tunjukkan akaun simpanan yang anda buka untuk mereka. Ambil masa untuk terangkan duit dalam akaun berkenaan diperoleh sempena kelahiran mereka atau sempena hari jadinya. Beritahu juga tabungan amat mustahak sebagai bekalan pendidikan mereka di masa depan,” katanya mengulas mengenai menabung.
Segelintir ibu bapa mengambil jalan mudah menggalakkan menabung dengan hanya membenarkan anak membawa bekal tanpa wang saku, sedangkan itu bukan cara yang baik kerana anak tidak didedahkan dengan pengurusan wang yang betul.
Jelasnya lagi, anak kecil mungkin belum faham mengapa mereka perlu menabung, justeru ibu bapa memainkan peranan memberi penerangan dan motivasi mengenai kebaikan menabung.
“Mungkin dengan menerangkan kepadanya, sebahagian wang saku yang diberikan itu boleh disimpan dalam tabung, sekiranya mereka dapat berjimat cermat dengan membawa bekal ke sekolah. Tidak semua anak suka membawa bekal, kebiasaannya anak lelaki lebih gemar membeli. Bagaimanapun, ibu bapa dapat memotivasikan mereka dengan membekalkan makanan kegemarannya.
“Bagi kanak-kanak yang tidak diingatkan mengenai kepentingan menyimpan wang, mereka mungkin akan menghabiskan kesemua wang saku itu termasuk membeli sesuatu barangan yang tidak berfaedah berbanding kanak-kanak yang tahu matlamat menabung pasti akan menyimpan, jika ada lebih,” katanya.
Wang saku ibu bapa perlu sediakan untuk perbelanjaan anak ke sekolah iaitu termasuk untuk bayar tambang bas, selain membeli makanan.
Bagi anak yang lebih dewasa, mereka mungkin memerlukan bukan saja perbelanjaan untuk makan di sekolah, tetapi keperluan lain seperti membeli ‘top-up’ kredit telefon bimbit, majalah, makanan, minuman dan sebagainya.
“Ramai ibu bapa bertanyakan berapakah jumlah yang sesuai diberikan kepada anak, tetapi saya rasakan ia sesuatu yang sangat subjektif. Jumlah ini biasanya bergantung pada faktor kemampuan ibu bapa, berapa yang diperlukan oleh anak untuk berbelanja, misalnya sekolah di sesetengah bandar mungkin harga makanannya lebih mahal. Kadang-kadang mereka memerlukan wang lebih kerana perlu membeli makan tengah hari kerana ibu bapa bekerja dan tidak dapat menyiapkan makan tengah hari untuk anak mereka atau kerana aktiviti kokurikulum anak.
“Jumlah wang saku ini bergantung kepada keperluan murid dan kemampuan ibu bapa. Mungkin murid sekolah menengah, mereka perlukan lebih makanan, jadi perbelanjaan mereka lebih besar. Seelok-eloknya ibu bapa harus bertanya mengenai perbelanjaan anak. Adakah mereka berbelanja dengan cara berhemah? Cuba fikirkan, jika anak anda berbelanja RM1.30 sehari untuk membeli air berkarbonat, dalam sebulan anak anda mungkin berbelanja RM26. Ini mungkin satu peratus dari pendapatan isi rumah anda,” katanya.
Sebelum memberi wang saku untuk anak, ibu bapa sepatutnya membuat perhitungan dulu berapa yang diperlukan, bersesuaian dengan keperluan umur, keperluan anak itu sendiri dan juga kemampuan ibu bapa.
“Mungkin ada ibu bapa yang tidak kisah memberikan wang saku yang besar tetapi kriteria utama fikirkan adakah jumlah itu sesuai dan tidak keterlaluan. Ini secara tidak langsung akan memberi mesej kepada anak mereka harus berbelanja mengikut keperluan dan bukan mengikut kehendak,” katanya.
Mengenai segelintir kanak-kanak sanggup berlapar sebab ingin melihat tabungnya cepat penuh atau meminta rakan ‘membelanja’ ketika waktu rehat, katanya, ia terjadi mungkin semangat membara mereka untuk capai jumlah terbesar, tetapi perlu jelaskan itu bukan tabiat yang baik.
“Ibu bapa harus prihatin mengenai keadaan itu dan selalu berbual dengan mereka dan menyatakan cara itu tidak tepat. Jika anak ingin cepat melihat tabungnya penuh, maka ibu bapa atau penjaga itu harus siapkan bekalan dari rumah atau berikan mereka sedikit ganjaran.
“Ibu bapa juga boleh bekerjasama dengan mereka, memberi ‘upah’ sekiranya si kecil membantu anda membuat sebarang pekerjaan (seperti mengemas rumah yang jarang dilakukannya) supaya dapat kumpul wang saku lebih banyak.
“Bagi remaja, galakkan mereka buat kerja sambilan yang bersesuaian dengan umur dan ia tidak mengganggu pelajaran mereka. Ibu bapa harus memantau anak tidak terjebak dengan perbuatan tidak bermoral seperti mencuri untuk mendapatkan wang cara mudah,” katanya.
Pada masa sama, Puteri Afroze turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menggunakan wang simpanan anak tanpa pengetahuannya.
Mengambil satu kes seorang anak kenalannya ‘patah hati’ untuk menabung kerana wang tabungan hasil simpanan wang hari rayanya digunakan ibu bapanya untuk membayar hutang ibu bapanya dan itu adalah tindakan tidak bijak.
“Cara ibu bapa berbelanja secara berhemah dan menabung menjadi contoh yang terbaik kepada anak. Kawan saya menceritakan, suami dia menyuruh anak berbelanja secara berhemah supaya duit itu dimasukkan dalam tabung. Seorang daripada anak mereka di Tahun Satu dengan berkata spontan, jika ayahnya tidak membeli rokok, sudah lama mampu beli kereta baru. Situasi itu menyebabkan suami dia terdiam,” katanya memberi contoh mudah bagaimana ibu bapa perlu menerapkan sikap bertanggungjawab.


INFO: Contoh pengiraan wang belanja (murid sekolah kebangsaan di bandar):
Belanja untuk makan ketika waktu rehat:
  • Makanan : Nasi lemak/mee/sandwich : RM1 – RM2
  • Minuman : RM1 – RM1.30
  • Kuih : RM0.40 – RM0.50
  • Jumlah yang diperlukan antara RM2 ke RM5, bergantung apa yang dibelanjakan ketika di kantin sekolah. Walau bagaimana pun mungkin ada yang memerlukan perbelanjaan selepas waktu sekolah dan biasanya murid suka membeli makanan ringan yang kurang berkhasiat yang dijual di luar sekolah.

  • INFO: Cara jimat/menabung:
  • Salah satu cara untuk mengajar anak kita berjimat adalah membawa bekalan, jika tidak mahu bawa makanan bawalah bekalan air dari rumah. Ibu bapa dapat pastikan bekalan air dari rumah adalah dari sumber air bersih atau sudah dimasak.
  • Sering nasihatkan anak-anak supaya membeli makanan yang berkhasiat. Makanan ringan serta minuman berkarbonat perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan ketagihan. Namun, perbelanjaan itu boleh ditukar kepada simpanan jika anak membawa bekalan makanan dan air ke sekolah.

  • Manfaat menabung
  • Sekiranya ibu bapa adalah pembayar cukai, pastikan menabung sekurang-kurangnya RM3,000 dalam PTPTN anak untuk mendapat penolakan cukai.
  • Sekiranya ada berlebihan, masukkan dalam simpanan yang memberi pulangan yang berlebihan, contohnya Amanah Saham Berhad (ASB) atau tabung amanah saham yang memberi pulangan yang menarik dengan risiko yang rendah.
  • Caranya ibu bapa boleh membantu anak memupuk sikap suka menabung
    Banyak caranya dan kaedah terbaik adalah dengan anda sendiri menabung dan menunjukkan sikap yang positif terhadap menabung.

  • Beri galakan atau motivasi dengan cara berikut
  • Gandakan setiap ringgit yang mereka simpan. Apabila mereka kecil, anda mungkin dapat gandakan 100 peratus, tetapi jika sudah banyak, mungkin anda dapat berikan 25 peratus atau 50 peratus daripada jumlah simpanan mereka.
  • Buka akaun simpanan PTPTN atau amanah saham untuk mereka.
  • Galakkan mereka untuk membuat matlamat untuk simpanan mereka. Contohnya jika mereka inginkan sesuatu permainan yang agak berharga, mereka haruslah menabung.
    Contohnya seorang kanak-kanak berusia 11 tahun membeli ingin membeli permainan bernilai RM800. Selepas mengumpul wang selama enam bulan, beliau dapat mengumpul wang sejumlah wang berkenaan. Sebagai tanda penghargaan kepada si kecil yang mencapai prestasi baik sepanjang tahun, ibu bapa boleh membayar 50 peratus daripada jumlah berkenaan.
    Baiknya cara ini apabila di sekecil bukan saja masih mempunyai simpanan dan pada masa yang sama dapat memiliki permainan yang diidamkan.

  • Sumber dipetik dari Berita Harian Online: http://www.bharian.com.my/articles/Tabunghayat/Article/

    No comments:

    Post a Comment