Fund for Blog Development-Please click

Thursday, September 27, 2012

Pelaburan saham amanah jaminan masa depan individu, keluarga


Pelaburan saham amanah jaminan masa depan individu, keluarga
SEBAIK mendengar perkataan saham amanah, pasti terbayang habuan ribuan ringgit yang boleh dimanfaatkan. Namun hakikatnya, dana saham amanah lebih daripada itu kerana selain pelaburan jangka pendek dan panjang, ada yang turut menyifatkannya simpanan masa depan.Mengimbau sejarah dana amanah di negara ini, industri saham amanah bertapak di negara ini sejak 1959 lagi apabila pelabur Inggeris di Singapura menubuhkan Malayan Unit Trust Limited dan diikuti penubuhan dana saham amanah pertama di Malaysia, ‘Unit Trust Fund of Malaya.’
Pada 1966, Asia Unit Trust Limited pula ditubuhkan diikuti dengan penubuhan Amanah Saham Mara Berhad sebagai syarikat amanah saham pertama yang dimiliki Bumiputera dan ditubuhkan untuk Bumiputera dalam tahun 1967. Pada April 1968, dana saham amanah pertama untuk pelabur Bumiputera yang dikenali sebagai ‘First MARA Bumiputra Investment Fund,’ dilancarkan Amanah Saham Mara Berhad.
Lapan tahun kemudian pada 1976, Amanah Saham Pahang Berhad sudah ditubuhkan sebagai syarikat amanah saham negeri yang pertama dan pada 1981, Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan sebagai instrumen pasaran modal bagi meningkatkan taraf hidup dan penyertaan atau pemilikan ekuiti Bumiputera.
ASN dan kemudiannya Amanah Saham Bumiputera (ASB) membuka lembaran baru di dalam industri saham amanah di Malaysia. Masyarakat mula memahami dengan lebih mendalam lagi mengenai kebaikan melabur di dalam saham amanah.
Bermula dari 1983, banyak institusi kewangan melancarkan produk saham amanah mereka dan industri ini terus berkembang dengan pesatnya selaras permintaan semasa orang ramai yang kian menyedari kepentingan pelaburan demi jaminan masa depan.
Apabila Garis Panduan Saham Amanah diperkenalkan dan berkuat kuasa Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 serta penubuhan Persekutuan Pengurus-Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM) sebagai badan-badan pengawas industri saham amanah pada 1990-an, maka industri saham amanah terus bertapak kukuh di negara ini.
Dengan perkembangan sihat ini, pengetahuan masyarakat dalam pelaburan amanah saham turut juga berkembang dan kaedah pelaburan ini menjadi semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia.
Masyarakat pelabur kini sudah semakin bijak menilai jenis pelaburan yang sesuai untuk mereka, lebih-lebih lagi pihak kerajaan amat menggalakkannya supaya lebih banyak dana saham amanah dibentuk. Pada masa sama, lebih banyak pilihan pelaburan ditawar kepada masyarakat selain melabur terus ke dalam pasaran saham.
Namun, pelaburan saham amanah ini ada kelebihannya tersendiri jika dibandingkan dengan melabur terus ke dalam pasaran saham. Ia secara tidak langsung berkaitan pelaburan berisiko rendah dan cara yang selamat bagi mereka yang merancang untuk melabur dalam tempoh sederhana dan jangka panjang.
Apakah yang dimaksudkan dengan dana amanah? Saham amanah adalah antara alternatif pelaburan terbaik terutama apabila matlamat pelaburan bagi kegunaan jangka masa sederhana (tiga ke lima tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun).
Ini disebabkan saham amanah berisiko rendah yang diurus oleh pengurus dana profesional, dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti dan badan pemegang amanah seperti Amanah Raya Berhad dan industri ini dipantau oleh Bank Negara Malaysia.
Risikonya tinggi apabila pelabur tidak mempunyai masa (kurang daripada tiga tahun) kerana secara umumnya kitaran pasaran saham (merudum dan meningkat) mengambil masa antara dua ke tiga tahun untuk pulih. Jika pelabur mempunyai tempoh berkenaan, pelaburan saham amanah ini tidak berisiko langsung!
Saham amanah bukanlah skim cepat kaya (seperti diharamkan kerajaan), tetapi ia adalah satu pelaburan sah dari segi undang-undang. Malah perunding saham amanah perlu menduduki peperiksaan khas oleh badan induk industri ini, Federation of Malaysian Unit Trust Managers (FUMTM) sebelum boleh menawarkan perkhidmatan ini.
Dana amanah ini dikumpulkan secara kelompok menerusi penggemblengan modal individu ataupun syarikat ini dan dilaburkan pengurus dana dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk bon dan instrumen pasaran kewangan lain.
Saham amanah ini berbeza pelaburan pasaran saham biasa kerana dengan kadar minimum RM100, individu boleh membuat pelaburan sedangkan jika mereka membuat pelaburan pasaran saham biasa, individu berkenaan memerlukan modal agak besar bagi membeli saham di bursa saham.
Peluang pertumbuhan dalam saham amanah ini juga jauh lebih besar dengan purata pulangan antara 10 hingga 15 peratus setahun bergantung kepada jenis dana pelaburan dipilih. Jika disimpan dalam akaun simpanan biasa ataupun simpanan tetap pulangannya antara satu ke tiga peratus dan pulangan yang rendah ini mudah terhakis oleh kesan inflasi dan cukai.
Sebilangan jenis saham amanah, modal pelabur kekal terjamin yang terikat tempoh tertentu, manakala ada dana memberi pulangan berganda menerusi tiga cabang pulangan iaitu keuntungan atas modal, dividen dan juga bonus.
Kelebihan dana amanah ini adalah ia mempunyai kecairan yang tinggi, yang mana pelaburan ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa diperlukan.

Rancang persaraan ketika muda
SAAT persaraan sememangnya ditunggu setiap pekerja. Malah sudah banyak yang direncanakan untuk waktu berkenaan seperti bercuti, menunaikan ibadat haji atau melakukan hobi yang sebelum ini terpaksa dipendam dan ditunda dek kekangan masa serta kesibukan tugas.
Namun, ramai yang lupa perancangan kewangan selepas bersara kerana beranggapan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah mencukupi.
Apakah benar persepsi sedemikian?
Hakikatnya, ia tidak sebegitu terutama bagi mereka yang bekerja sendiri atau tidak berpendapatan tetap. Justeru, persaraan yang dilalui tanpa persediaan sewajarnya boleh merumitkan kehidupan, lantas membuatkan ada yang terpaksa bergantung harap kepada anak dewasa.
Berdasarkan senario sedemikian, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa saranan seperti yang dimuatkan dalam buku panduannya. ACCA menyifatkan amat penting bagi seseorang itu merancang persaraan seandainya mahu hidup selesa dan teguh kewangan apabila tiba usia emas.
Ada beberapa langkah mudah perancangan persaraan yang boleh dilakukan sendiri seperti menentukan perbelanjaan diperlukan sewaktu persaraan, jumlah harta atau wang dimiliki sekarang serta apa yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan.
Semua persoalan berkenaan memerlukan pemikiran dan perancangan bersungguh-sungguh kerana jumlah wang diperlukan ketika persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang diinginkan.
Misalnya, andai kata, anda merancang untuk berpindah ke sebuah rumah yang lebih kecil di sebuah kawasan pinggir bandar, justeru kos hidup mungkin lebih rendah berbanding tinggal di sebuah rumah besar di kawasan bandar. Sebelum memenuhi sebarang hajat, anda harus lihat dan teliti perbelanjaan semasa serta menganggarkan bagaimana ia mungkin berubah ketika persaraan kelak.
Umpamanya, anda boleh mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan hiburan, tetapi anda mungkin perlu meningkatkan perbelanjaan perubatan kerana kemungkinan jatuh sakit meningkat selaras pertambahan usia. Secara alternatif, anda boleh membuat andaian bahawa anda hanya memerlukan 70 peratus hingga 80 peratus daripada perbelanjaan semasa sewaktu persaraan. Jadi, jika anda bersara pada usia 56, anda memerlukan simpanan sekurang-kurangnya tempoh 24 tahun berdasarkan faktor jangka hayat penduduk negara ini.
Ancaman paling besar memenuhi keperluan kewangan semasa persaraan adalah inflasi. Anda mungkin tidak memberi tumpuan terhadap inflasi ketika anda bekerja kerana pendapatan anda cenderung meningkat seiring dengannya. Bagaimanapun, apabila berhenti bekerja, pendapatan anda lebih kurang tetap dan ini membuatkan inflasi muncul sebagai masalah besar.
Apabila sudah mengetahui inflasi boleh menjejaskan pendapatan ketika persaraan, maka langkah seterusnya yang boleh di ambil untuk memastikan jumlah dana yang boleh bertahan sehingga 24 tahun. Andaikan bahawa purata kadar pulangan ke atas pelaburan untuk 25 tahun akan datang ialah lapan peratus dan memandangkan kadar inflasi ialah lima peratus, maka kadar sebenar pulangan ke atas pelaburan ialah tiga peratus.
Mencari jawapan ini agak rumit kerana anda perlu tahu nilai setiap pelaburan masa depan, termasuk KWSP, nilai tunai insurans, pelaburan syarikat yang melabur dan membayar dividen dan hartanah. Bagi rancangan persaraan, anda dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan dana saham amanah memandangkan pelaburan jenis ini menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding bentuk pelaburan lain umpamanya faedah daripada akaun simpanan atau deposit tetap.
Saham amanah adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudian dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko. Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain.
Nyata sekali, anda perlu memikirkan satu perancangan kewangan yang lengkap untuk persaraan anda dengan mengambil kira aset, hutang, perbelanjaan, tabungan, matlamat kewangan anda.
Andai buntu, dapatkan bantuan perancang kewangan yang berkelayakan. Kesimpulannya, lagi awal perancang persaraan dibuat maka lagi cerah masa depan persaraan anda.

INFO: Tip perancangan persaraan
Pertimbang persoalan penting seperti:
  • Tentukan perbelanjaan diperlukan sewaktu persaraan.
  • Jumlah harta atau wang dimiliki sekarang.
  • Apa yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan.
  • Perancangan persaraan:
  • Dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan dana amanah yang hasilkan pulangan berbanding bentuk pelaburan lain seperti faedah akaun simpanan atau deposit tetap.
  • Pelaburan saham memberikan anda status pemilik dalam sesebuah syarikat yang dilabur. Jika syarikat itu berjaya, anda seharusnya boleh menjana wang dengan menjual balik saham itu. Anda juga mungkin boleh meraih keuntungan daripada dividen yang dikeluarkan oleh syarikat itu secara tetap.
  • Bon pula sebenarnya pinjaman perniagaan dan kerajaan yang dipegang untuk sesuatu masa. Lazimnya ia lebih selamat untuk melabur dalam bon dan sesetengahnya disokong oleh kerajaan.
  • Saham amanah adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudian dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko. Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain.

  • Artikel ini dipetik daripada: Berita Harian Online

    No comments:

    Post a Comment