KUALA LUMPUR: Belia berumur antara 30 dan 40 tahun menjadi golongan
paling tinggi menyertai Program Pengurusan Hutang (DMP) kendalian Agensi
Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan jumlah keseluruhan
melebihi 40 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian berkata, senario itu
berkemungkinan didorong kesan bebanan hutang mahupun pinjaman yang
diambil sejak awal khususnya ketika masih belum berumah tangga.
Selain itu, katanya, kedegilan golongan berkenaan untuk memanfaatkan
kemudahan perlindungan insurans yang disediakan kebanyakan institusi
kewangan menyebabkan mereka terbeban dalam masalah membayar bil
perubatan.
“Daripada kes yang dikendalikan AKPK, kebanyakan golongan ini
mempunyai masalah kewangan yang teruk sebaik mendirikan rumah tangga
serta mempunyai anak. Pelbagai hutang termasuk kad kredit ataupun
pinjaman peribadi yang dibuat ketika zaman bujang belum habis dibayar
sedangkan kos hidup semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Berbanding zaman sebelum berkahwin, mereka hanya menanggung diri
sendiri dan tidak perlu menampung perbelanjaan lain seperti keperluan
anak dan sebagainya. Dalam rekod AKPK sendiri, dua pertiga daripada
pelanggan kami terdiri daripada lelaki,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, katanya, kegagalan mengetahui secara mendalam
mengenai pengiraan kadar faedah kad kredit juga menyebabkan ramai antara
pengguna sering melambatkan pembayaran hutang berkenaan.
Menurutnya, dengan penggunaan RM3,000, pemegang kad kredit mengambil
masa selama empat tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutang berkenaan
jika hanya membayar jumlah minimum iaitu RM150.
“Berdasarkan rekod Bank Negara Malaysia (BNM), hanya 60 peratus
daripada jumlah pemegang kad kredit di negara ini melangsaikan
sepenuhnya jumlah wang yang digunakan sementara bakinya membayar secara
ansuran.
“Bayangkan berapa jumlah yang terpaksa kita bayar jika melengahkan
pembayaran. Disiplin membayar secara penuh seharusnya dipupuk pada saat
kita menerima kad kredit,” katanya.
Koid menyarankan pengguna terutama bagi mereka yang seringkali
tersasar daripada perancangan asal perbelanjaan supaya menggunakan kad
debit yang jelas lebih selamat serta bebas hutang. Secara
keseluruhannya, pengguna di Kuala Lumpur adalah paling ramai merujuk
kepada AKPK disebabkan masalah kewangan dan menyertai DMP anjurannya
diikuti Johor.
No comments:
Post a Comment