- Utusan Online, 23rd October 2007
BERITA mengenai miskin selepas pencen memberi satu tekanan kepada penulis ketika cuba membayangkan hidup selepas bersara.
Apa yang mengerikan ialah walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai caruman terkumpul berjumlah RM224 bilion sehingga Disember 2006, namun secara purata simpanan seorang pencarumnya yang mencapai usia 55 tahun cuma RM114,000.
Dengan simpanan sebanyak itu, seseorang pencarum KWSP yang bersara hanya mampu membelanjakan RM475 setiap bulan bagi membolehkannya menampung hidup sehingga usia 75 tahun.
Memang kita tidak dapat nafikan Malaysia sebuah negara yang sedang pesat membangun menuju ke arah negara maju sama seperti negara jiran, Singapura.
Pendapatan per kapita penduduk negara ini ialah RM15,336 setahun pada tahun 2005. Dan sudah tentu pendapatan itu meningkat pada tahun ini apabila kerajaan meluluskan kenaikan gaji sektor awam.
Tetapi jangan kita lupa bahawa yang mencarum dengan KWSP kebanyakannya adalah kakitangan swasta. Terdapat 10.38 juta pekerja swasta dengan 578,000 majikan pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, lima juta pekerja swasta mendapat pendapatan bulanan bawah RM1,000. Agaknya bagaimana nasib pekerja bawah RM1,000 ini untuk meneruskan kehidupan selepas bersara nanti.
Walaupun kita tahu bahawa caruman KWSP setiap bulan hanya melibatkan 11 peratus daripada gaji pekerja swasta, tetapi baki 89 peratus itu sebenarnya bukanlah angka yang besar jika hidup di bandar raya.
Kita ambil contoh seperti ini. Jika satu keluarga dengan empat anak iaitu contoh paling ideal untuk keluarga di negara ini, namun baki pendapatan tersebut harus pula digunakan untuk tujuan-tujuan lain.
Dengan ibu bapa yang bekerja swasta, mereka perlu mengeluarkan belanja untuk bayaran bulanan bas sekolah yang secara puratanya untuk seorang mungkin mencecah RM100 sebulan.
Alhamdulillah pada tahun depan semua buku teks diberi secara percuma kepada semua pelajar. Jika empat orang anak bersekolah, bayaran bulanan mungkin mencecah RM400 sebulan.
Ini tidak termasuk bayaran ansuran sewa rumah. Jika di Kuala Lumpur, bayaran sewa bulanan untuk rumah teres dua tingkat mampu mencecah lebih RM1,000 manakala rumah teres pula dalam kadar RM700.
Lainlah jika membeli rumah pangsa tiga bilik. Mungkin kadar bayaran ansuran bulanan mencecah RM500. Tetapi anak pula tidak selesa hingga terpaksa berkongsi bilik.
Sebenarnya walaupun terdapat baki pendapatan sebanyak 89 peratus, percayalah ia masih tidak memadai pada masa kini kerana terlalu banyak yang perlu dibuat dengan baki pendapatan di tangan.
Terlalu banyak yang perlu dijelaskan seperti bayaran cukai pintu, bil-bil utiliti yang bukan murah kosnya disebabkan ia menggunakan petrol. Apabila petrol naik, maka kos mengangkat sampah di depan rumah juga akan dinaikkan.
Kebanyakan pekerja swasta ini pula tinggal di bandar-bandar besar yang memerlukan kos yang besar. Bagi mereka yang berpendapatan lima angka hingga enam angka, kos kehidupan di bandar tidak membebankan sangat.
Jangan pula kita lupa bahawa pekerja swasta daripada golongan Melayu tidak ramai memiliki pendapatan yang besar kerana mereka hanyalah pekerja dan bukannya golongan majikan.
Jadi apa yang perlu dibuat? Sebenarnya sudah tiba masanya pekerja swasta berjimat cermat dan berbelanja jika perlu.
Gunakan wang yang ada dengan bijaksana seperti melabur pada unit-unit saham amanah yang diuruskan oleh beberapa syarikat perbankan dan syarikat yang boleh diyakini seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Jangan pula melabur dengan saham cepat kaya di dalam Internet yang tidak diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Nanti bukan sahaja untung tidak dapat, tetapi wang pula lesap.
Kerajaan pula melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu membantu dengan memastikan harga barangan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya. Janganlah meminta rakyat berjimat sedangkan rakyat sebenarnya tidak mempunyai pilihan.
Bagi majikan di negara ini pula, kita harap dengan RM475 sebulan itu mampu menyedarkan mereka bahawa nasib pekerja di hari tua bukanlah begitu mudah.
Walaupun ungkapan di hari tua untuk beribadat semata-mata, namun realitinya bukan begitu kerana ada juga yang sudah bersara terpaksa bekerja semula seperti menjadi pengawal keselamatan.
Semua ini kerana pendapatan hari tua tidak seberapa sedangkan hidup perlu diteruskan.
No comments:
Post a Comment