Walaupun
terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi mengenai pengurusan wang,
kebanyakan daripada kita masih lagi tidak dapat merancang kewangan
dengan baik. Statistik menunjukkan bahawa hutang kad kredit rakyat
Malaysia berjumlah hampir RM25 bilion (setakat Mac 2010). Situasi ini
sememangnya merisaukan dan isu kepentingan menyimpan duit dan membayar
hutang sepatutnya menjadi satu perkara yang dititik beratkan oleh semua
lapisan masyarakat.
Persoalannya, dengan pendapatan yang terhad,
apakah kita patut menggunakan duit gaji untuk membayar hutang sedia ada
atau wang itu sepatutnya disimpan? Mana satu perlu didahulukan? Yang
mana satu patut menjadi keutamaan? Membayar hutang atau membuat
simpanan?
Ini adalah
keputusan penting yang harus dibuat kerana walaupun mempunyai akaun
simpanan adalah satu cara untuk merancang masa depan, tetapi menjadi
bebas hutang adalah strategi yang sangat berkesan bagi mencapai
kedudukan kewangan jangka panjang yang stabil. Pada akhir artikel ini,
anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk
membantu mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan membayar hutang.
Langkah #1: Wujudkan Dana Kecemasan
Langkah #1: Wujudkan Dana Kecemasan
Sebelum
anda membuat keputusan sama ada untuk meyimpan duit atau menjelaskan
hutang, langkah pertama yang harus dilakukan adalah membina dana
kecemasan terlebih dahulu. Dana kecemasan secara amnya merujuk kepada
wang yang disimpan untuk digunakan ketika anda betul-betul
memerlukannya. Ini sepatutnya menjadi matlamat simpanan anda yang paling
utama. Setelah itu, barulah anda menyimpan untuk pembelian rumah,
pendidikan anak dan juga persaraan. Tidak kira sama ada anda seorang
yang baru ingin menyimpan duit atau sudah mempunyai simpanan yang
banyak, mempunyai sejumlah wang yang mencukupi dalam dana kecemasan akan
memberikan ketenangan fikiran kerana anda sudah mempunyai perlindungan
yang sewajarnya.
Dana kecemasan adalah penting kerana sekiranya
menghadapi masalah seperti kehilangan kerja, ditimpa penyakit, kereta
rosak dan sebagainya, anda tidak perlu berhutang. Denganini, situasi
kewangan anda tidak terlalu terjejas walaupun menghadapi kesukaran
seperti di atas. Ingatlah bahawa dana kecemasan ini harus digunakan
dalam keadaan yang terdesak sahaja dan bukannya untuk percutian, membeli
barang kesukaan atau “kehendak-kehendak” yang lain.
Jadi
berapakah jumlah dana kecemasan yang harus anda disimpan? Kebanyakan
pakar kewangan mencadangkan bahawa anda menyimpan sebanyak tiga hingga
enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Apabila gaji meningkat,
tambahkan jumlah simpanan dana kecemasan supaya anda sentiasa memiliki
simpanan sebanyak enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Akhir
sekali, sentiasa tambah semula dana kecemasan jika anda telah
menggunakannya.
Langkah #2:
Langsaikan Hutang Anda
Setelah mempunyai simpanan dalam dana
kecemasan, kini masanya untuk mengalihkan perhatian kepada teras masalah
anda iaitu HUTANG. Oleh kerana gaji yang terhad, anda perlu menggunakan
sebahagian atau semua duit yang dahulunya disimpan dalam dana kecemasan
untuk membayar hutang.
Bagaimana pula dengan simpanan? Ia mungkin bukan
satu tindakan yang bijak untuk menambah lagi duit simpanan apabila anda
masih mempunyai hutang. Kebanyakan hutang mempunyai kadar faedah yang
lebih tinggi daripada akaun-akaun simpanan biasa di bank. Dengan itu,
anda sebenarnya kerugian lebih banyak duit daripada hutang tersebut
berbanding duit yang diperolehi daripada akaun simpanan.
Contohnya,
katakan anda mempunyai RM6,000 dalam sebuah akaun simpanan dengan
pulangan 2% setahun dan hutang kad kredit sebanyak RM3,000 dengan kadar
faedah 18% setahun. Berapakah jumlah duit anda selepas lima tahun?
Jawapannya adalah sifar – anda akan hilang kesemua simpanan dan masih
lagi berhutang RM200 kerana hutang akan meningkat kepada RM6,800,
manakala simpanan hanya bertambah sebanyak RM600.
Satu lagi
pilihan adalah untuk melaburkan duit tersebut. Sekiranya produk
pelaburan itu memberikan kadar faedah yang tinggi, anda boleh mengunakan
keuntungan yang diperolehi untuk menjelaskan hutang sedia ada. Akan
tetapi, ambil perhatian bahawa pelaburan mempunyai risikonya tersendiri
dan anda mungkin mengalami kerugian. Ini bergantung kepada tahap risiko
sesuatu produk pelaburan pilihan anda.
Walaupun memilih untuk melabur,
matlamat utama anda masih lagi untuk menjelaskan hutang. Maka, hutang
mana yang harus dijelaskan dahulu? Biasanya, hutang dengan kadar faedah
yang paling tinggi seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman
kereta harus dibayar dahulu. Biarkan pinjaman perumahan dan pinjaman
pendidikan sebagai yang terakhir kerana pinjaman-pinjaman sebegini
biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dan dianggap sebagai
“hutang yang baik”.
Langkah
#3: Fokus pada Masa Depan
Setelah menjelaskan hutang-hutang yang
penting, anda bolehlah kembali memberi perhatian kepada usaha untuk
meningkatkan simpanan. Ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk
dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda (ini juga dikenali sebagai
prinsip “bayar diri sendiri dahulu”). Jika majikan membenarkan
pemotongan gaji bulanan secara automatik, ambil peluang itu agar anda
tidak terlupa untuk memindahkan duit tersebut.
Setelah
itu, inilah masanya untuk mula melihat kepada peluang membuat duit
berkerja untuk anda iaitu dengan melaburkan duit yang ada. Anda boleh
menggunakan sebahagian daripada wang simpanan untuk dilaburkan dan
membantu menghasilkan pulangan. Produk pelaburan yang dipilih bergantung
kepada objektif pelaburan dan toleransi risiko anda. Akhir sekali,
sentiasa awasi pelaburan untuk memastikan ia sejajar dengan matlamat
anda.
Dengan
ketiga-tiga langkah yang telah disebutkan, anda kini tahu bagaimana
untuk mula mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan
hutang. Ingatlah bahawa menyimpan duit, melabur dan menjelaskan hutang
adalah perkara-perkara jangka panjang yang berkaitan dengan cara hidup
anda dan komitmen-komitmen kewangan lain. Selalunya, anda perlu
melakukan perubahan kepada cara hidup bagi mencapai keseimbangan di
antara ketiga-tiga perkara tersebut dan ianya bukanlah suatu yang mudah.
Akan tetapi, jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang stabil,
mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang anda
adalah kuncinya.
Dipetik
dari laman web Pelabur Malaysia (www.min.com.my)
No comments:
Post a Comment